Wednesday, December 12, 2012

[Ulasan Filem] Wreck-It Ralph

Tiket percuma lagi. Asalnya untuk 2 orang sahaja. Oleh kerana tidak ramai yang sudi untuk menonton filem ini, kami 6 sekeluarga terpaksalah memeriahkan panggung. :)

~~~~

Anda dilahirkan untuk menjadi 'orang jahat'? Konflik yang agak berat bukan? Tidak menjadi hal jika anda menjadi jahat dan popular serta hidup bersenang-senang. Malangnya bagi Ralph, tidak semudah itu. Punca kepada segala 'hal' di dalam filem ini adalah kesedihan kerana terpinggir. Berat rasa itu. Kesungguhan untuk menjadi baik serta keinginan mendapat pujian?

Tugasan Ralph adalah untuk memusnahkan rumah-rumah yang didiami oleh "Nicelander" manakala si pembaikpulihnya adalah Fix It Felix yang dianugerahkan Tukul Ajaib, satu sentuhan mampu membaiki apa jua. Itu mungkin tidak apa-apa. Yang menjadi halnya setiap kali misi si Fix It selesai, Nicelander akan menghumban si Ralph dari bumbung pangsapuri mereka. Adui, dan ia berulang selama bertahun-tahun.

Kunci kepada keindahan cerita ini adalah kisah disebalik 'kaca paparan' permainan video ini. yang dibawakan oleh penulis skrip Anda tidak pernah tahu si Ralph tinggal di longgokan sampah di tepi pangsapuri Nicelander, longgokan sampah itu tidak kelihatan di paparan. Anda juga tidak tahu yang mereka mengadakan parti di kala malam saat kedai arked ini tutup. :P

Sebuah cerita keluarga namun tetap juga disulami konflik dan konspirasi untuk memenuhi jiwa ibu bapa yang menemankan anak-anak.

Filem ini juga turut mempunyai mesej yang sangat bagus. Usah melawani fitrah kejadian. Ia bukan menjadi baik atau jahat. Ia tentang menjadi siapa yang kita perlu jadi.

Penunjuk aras anak-anak? Mereka seronok walaupun filem ini bukan bahasa pertuturan mereka di rumah.

Sekian.

[Ulasan Filem] Tai Chi Zero


Filem kung fu dengan pendekatan yang sangat bersahaja.

Sesuatu yang menarik tentang filem ini hanyalah 'gaya persembahan'.

Menggunakan 'perkataan' 3D untuk menunjukkan di mana pejabat pos, di mana kuil dan nama gunung adalah sangat 'komik' caranya. Bukan itu sahaja, setiap kali kemunculan watak-watak baru, akan ada 'skrin' pengenalan, nama pelakon beserta nama watak yang dibawa.

Plot? Seperti juga filem seni bela diri yang lain. Tidak perlu plot yang penuh silangan konflik, dengan 2 baris ayat saya boleh menceritakan kepada anda apakah sinopsis cerita ini. Ya, benar, filem ini bersifat naratif ringan. Jadi tidak perlu saya 'memusnahkan' perasa filem ini dengan menceritakan apakah jalan ceritanya.

Saranan saya? Tontonilah, kerana ia sangat santai dan menghiburkan. Ia juga memenuhi kriteria 'filem berbaloi ditonton' bagi saya.

Oh, sebelum saya terlupa, filem ini ada sambungan bahagian kedua, itu rahsia yang saya dedahkan. Yang lainnya, nikmati sendiri. :)

Sekian.


Tuesday, November 6, 2012

[Jelajah] Gunung Nuang, Hujan dan Lumpur!

Pendakian bukan sesuatu yang mesra dengan saya.

Namakan apa jua bukit, tiada yang pernah saya jamahi apatah lagi jelajahi. Biarpun 'kampung' saya bernama Taman Bukit Cheras.

Oh ya, Bukit Tabur pernah menjadi kenalan saya kebelakangan ini. Namun, jujurnya pendakian Tabur dan Nuang adalah dua kisah yang sungguh tidak berkait. :)

Oleh kerana saya merupakan pendatang baru dalam industri pendakian ini makanya, jemputan dari Abe pada malam sebelumnya, lebih tepat jam 11.50 malam terus saya 'sambut' dengan yakin. Sedikit tidak terfikir tentang tempoh masa, jarak apatah lagi ketinggian.

Esoknya, sepagi sesudah solat subuh saya menghidupkan enjin kereta dan tiba tepat jam 7.25 pagi di Petronas berhadapan Plaza Phoenix. Bertemu dengan Abe dan Adlei di situ.

Selesai bersarapan, secara kasarnya memulakan pendakian jam 9 pagi. Tatkala ini saya masih lagi tidak terfikir langsung tentang masa. Percayalah!

Permulaan perjalanan adalah sangat santai. Sedikit pun tiada tekanan. Sekadar mengingatkan saya zaman-zaman sekolah rendah, saat menapak dari perhentian Sekolah Menengah Cheras ke Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Razak. Itu adalah sekitar 3km.

Pendek kata untuk tiba di Kem Lolo tidak menjadi masalah. Masa? Seperti yang saya katakan, saya abaikan tentang masa. Saya nikmati perjalanan seadanya.



Dari Kem Lolo ke Kem Pacat, di sini mula terasa bahangnya. Kaki masih memberi kerjasama dengan baik. Pernafasan agak tercungap jika mengikutkan rentak si 'senior' pendaki Abe dan Adlei.

Sambil-sambil itu, sempat saya memerhatikan trek yang dilalui. Tanah merah, bersulam batu-batu sungai. Terdapat juga 'laluan' air. Terbayang keadaan saat menuruni trek ini nanti. Ada sedikit debar.

Sampai di Pacat, kami melepaskan lelah dengan sedikit roti dan kurma. Kurang 15minit, pedakian diteruskan semula.

Kali ini, saya merasakan trek semakin mengerikan, semakin banyak kelihatan tanah-tanah merah. Tapi kecuraman pendakian seiring dengan suhu yang semakin dingin. Dari celah-celah pokok, kelihatan kabus menebal. Badan terasa sejuk dek hembusan angin gunung menyapa peluh di tubuh.

Sampai ke Puncak Pengasih sekitar jam 2 petang. Masa untuk makan bekalan. Perut sungguh-sungguh terasa lapar. Selesai bersantap, tanpa segan silu kami meneruskan lagi perjalanan ke puncak 'sebenar'. Kali ini, segalanya berbekalkan 'keterujaan'. Pantas dan bersemangat ditambah dengan belum solat Zohor, kejar masa. :)

Sekitar jam 3 petang, tiba di puncak Nuang. Nah! Berjaya juga akhirnya.






Turun semula ke Puncak Pengasih untuk menunaikan fardhu Zohor. Seusai solat, baru saya tergerak untuk bertanya, "Berapa jam agak-agak kita akan sampai ke bawah ni?" Jawapan dari Abe, biasanya separuh dari waktu naik... tapi itu biasa nya. Saya dongak ke langit, langit mendung. Hari semakin gelap. Aduh!

'Neraka' dunia saya bermula apabila hujan membasahi bumi. Neraka dunia kerana saya memang sangat gagal dengan muka bumi basah, ditambah dengan tumit 'plantar fasciitis' sangatlah terasa azabnya.

Setiap langkah adalah penderitaan. Untuk sampai ke Lolo, saya tergelincir entah berapa kali. Saat itu moral saya jatuh bersama-sama punggung saya setiap kali terduduk di tanah berlumpur. Ya, saya hampir putus asa. Saya terasa Pacat ke Lolo bagaikan JB ke KL. 

Walaupun tiba di Lolo, malam sudah pun bermesra. Irama hutan telah memeriahi suasana, namun melihat Kem Lolo waktu itu adalah sangat nikmat. Ia lebih asyik dari berbual mesra dengan Diana Danielle. Biarlah, Farid Kamil bernikah dengan Diana Danielle, saya tidak peduli, berjumpa dengan Lolo adalah lebih nikmat. :)

Hentian Lolo untuk menunaikan solat Maghrib. Masa mencemburui. Langkah harus diteruskan. Biar sakit, biar derita. Biar sejuk menggigil dek hujan. Kami teruskan jua. Kali ini, trek tidak terlalu berlumpur seperti Pacat Ke Lolo. Lebih banyak batuan membantu cengkaman. Namun saya tetap memerlukan sedikit-sedikit rehat, teringatkan perut kosong, mujur Abe masih ade bekalan kurma. Alhamdulillah.

Sepanjang trekking fasa terakhir ini, kami ditemani hujan selebat-lebatnya. Kurang terasa penatnya. Sekadar berjuang melawan sakit kaki. :)

Nah, tiba jua di pondok renjer, tepat jam 9 malam. Syukur, alhamdulillah. Berjaya juga menyelesaikan misi ini tanpa menyusahkan sesiapa.

Kini saya mengenali apa itu gunung. Terima Kasih kepada Abe dan juga Adlei. :)

3November2012.

Saturday, October 13, 2012

Biarlah Kalah!

Kita bertanding ni memang untuk kalah.

Menang itu satu bonus. Kita bukan bertanding atau beradu kemahiran/kekuatan demi mencari kemenangan. Yang kita cari adalah kelemahan dan kekurangan diri kita.

Jadi untuk apa bertanding? Dah jumpa kelemahan, bukankah untuk kita perbaiki dan bertanding dengan lebih baik lagi?

Ya, kelemahan dan kekurangan yang dicari memang untuk kita perbaiki dan juga untuk  kita sedari diri, betapa sehebat mana pun kita pasti akan ada yang lebih hebat. Sebagus mana pun kita, pasti akan ada yang lebih bagus. Syukuri kurniaan tuhan yang ada pada kita.

Permudahkan begini; kita berlawan...dan kalah, kita pulang dan mengkaji serta belajar mempertajam kemahiran. Proses ini akan berulang beberapa kali. Tetapi jika kita berlawan dan kita menang, kajian kita tentang kemahiran kita akan terhenti seketika dek kerana kita menang. Berpuas hati dan bersenang diri.

Sehingga kita bertemu semula dengan 'kekalahan' barulah proses pembelajaran dan pengkajian ini akan berjalan semula.

Jadi mana yang lebih baik? Menang dan bermegah atau kalah namun tidak mengalah.

Anda yang memilihnya!


Pendapat Je...

Nak kata macam mana lagi?

Pendapat kita bukan 'wahyu'. Bukan bisikan Jibril a.s. ke telinga kita. Sedarlah.

Silap-silap ia bisikan syaitan. Na'uzubillah.

Kita lontarkan pendapat. Kita longgarkan pegangan. Beri ruang untuk menerima buah fikir orang lain. Usah bermati-matian dengan ketaksuban pada pendapat kita. Kelak terurai 'fakta' salahnya, tertepek ke muka sendiri rasa segannya.

Percayalah, kita tidak akan digelakkan apatah lagi dihina dek kerana kita sudi menerima atau setidak-tidak memberi lebih ruang dan masa untuk mendengar dari pihak lain.

Dan kita tidak sekali-kali disanjung apatah lagi dijunjung dek kerana teguhnya pada pendapat kita, lagilah tidak jika itu pendapat ceduk-cedukan pendapat dari orang lain.

Hal ini terpakai untuk apa jua perbalahan, apa jua perselisihan pendapat dan apa jua konflik.

Oh ya, bagaimana ya jika kita begitu yakin benar dengan 'kepercayaan' kita dan kita yakin salah 'kepercayaan' orang? Saat yang sama fikiran kita yakin benar dengan pandangan kita, begitu juga pihak lawan kita. Tetapi baik dia mahupun kita, tidak siapa yang tahu, mana Ilham dari pencipta mana pula bisikan sang penggoda. Jadi, wajarkah kita begitu tegas?

Ingatlah, bahawa kita hanya penyampai...hidayah dan petunjuk bukan tugas kita.

Monday, October 8, 2012

Saya Neutralist!!

Jangan marah saya...


Saya menentang dan tidak bersetuju tidak semestinya saya seorang pembangkang...

Saya 'bersyukur' dan berterima kasih pula tidak semestinya saya seorang penyokong 'tegar' puak pemerintah...

Saya sekadar ingin arena politik yang membenarkan saya berada di antara orang-orang yang 'neutral'.

Saya sekadar ingin menjadi seorang pengundi atau pemilih.

Sungguh, tidak semestinya, marah-marah saya, bebel-bebel saya pada hari ini bermaksud saya tidak akan memilih orang yang saya bebelkan itu...tidak semestinya.

Selagi belum tiba saat saya 'berkhalwat' bersama pensil dan kertas undi, ertinya masih ada harapan untuk 'membeli' jiwa saya.

Beli jiwa saya bukan bererti dengan duit. Belilah jiwa saya dengan apa yang saya dan golongan marhein yang lain inginkan. Mungkin saya antara yang minoriti. Mungkin juga saya antara yang majoriti, selaku puak-puak yang berparti, pandai-pandailah memilih untuk membeli jiwa saya atau golongan yang tidak sependapat dengan saya. Terpulang anda.

Tidak perlu 'marah-marah' saya kerana tidak sealiran dengan pandangan anda. Tidak perlu 'maki-maki' saya kerana saya merasakan anda kurang bijak dalam berpolitik. Baik anda mahupun saya, kita sama-sama adalah manusia ciptaan Allah.

Baik saya mahupun anda, bisa melakukan kesilapan. Betulkah atau silapkah kita, sering menjadi rahsia. Rahsia yang kita semua tahu, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bukan manusia. Maka, tidak haruslah kita dengan amat yakin mengatakan kita 'sangat mengetahui'.

Kita juga boleh silap. Kita juga boleh salah. Kenapa 'tegas' sangat dengan pendapat kita? Kenapa 'keras' sangat dengan hujah kita?

Ingatlah, setiap hujah kita, setiap pendapat kita tidak turun dengan 'wahyu' Allah.

Saya neutralist kadang-kadang naturalist...;-p

Sekian, terima kasih.


Sunday, September 30, 2012

[Ulasan Filem] Resident Evil: Retribution

Selepas 4 bulan tanpa sebarang post, saya kembali semula setelah kene 'sound' dari Puan Seri Besar rumah saya.
Mujur kebetulan pula baru sudah menonton filem terbaru dari sekuel Resident Evil.
Seperti biasa, tiket adalah tajaan Puan Seri Besar yang rajin dan separa ketagih ber'peraduan'.
Menonton bersendirian adalah bukan perkara yang biasa. Tiket percuma hanya satu dan tayangan 3D tidak mesra kanak-kanak.
Seperti sekuel yang lain, cerita ini tidak banyak bezanya, seolah-olah anda telah 'layak' ke Level yang seterusnya. Itu sahaja. Adegan berlawan, kereta pecah, tembak menembak dan berbagai lagi aksi adalah dijangka.
Satu-satunya pujian saya, permulaan cerita ini di dalam 3D adalah sangat hebat. Cinematografi, sangat mengagumkan. Tapi, permulaan sahaja. Bermula sahaja cerita, ia menjadi biasa.
Imax 3D best!

Friday, May 18, 2012

[Ulasan Filem] Mama

Menonton filem ini memang mampu membuatkan air mata saya mengalir. Sehingga tahap ingin berbual bersama isteri pun suara tak mampu terkeluar.

Sorotan 3 kisah kehidupan tentang ibu-ibu dari latar yang berbeza.


Dong Sook, seorang ibu tunggal yang menjual yogurt dan mengambil upah mengemas rumah semata-mata memenuhi impian untuk melancong bersama anaknya Won Jae yang menghidapi kesakitan otot kaki yang menyebabkan anaknya tidak mampu berjalan. Namun, kesedihan bertimpa dihadapi oleh si ibu apabila mendapati beliau pula menghidapi barah yang membenarkan beliau hidup lebih singkat tempohnya dari si anak.

Uhm Jung Hwa as Dong Sook

Eun Sung, seorang ibu kepada seorang anak gadis comel dan isteri kepada seorang jurulatih seni pertahanan diri juga anak kepada seorang penyanyi opera tersohor Korea, Professor Hee Kyung. Beliau berimpian untuk menjadi seorang penyanyi pop namun sering dipandang rendah oleh ibunya yang merasakan Eun Sung 'memalukan' kerana tidak menjiwai nyanyian.

Yue Hae Jin as Seung Chul
Seung Chul pula merupakan seorang ketua kongsi gelap yang sangat digeruni. Namun merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibunya. Biarpun sisi bengisnya sangat ditakuti pengikut dan musuh, Seung Chul sangat menyayangi ibunya. Beliau sanggup melakukan apa sahaja (memang apa sahaja) demi ibunya walaupun perlu mencari kekasih pertama ibunya.

Ryu Hyun Kyung as Eun Sung
Garapan 3 cerita ini, di ikat dengan satu momen mudah namun berjaya menyayat hati 'garang' saya.

Dong Sook telah menghantar satu memo yang meminta semua penduduk di pangsapuri tempat mereka diami  (termasuk Eun Sung, Hee Kyung dan Seung Chul) untuk menghantarkan SMS kepada anaknya sewaktu beliau sedang menjalani pembedahan. Beliau mengharapkan anaknya tidak merasa 'bersendirian' menghadapi saat-saat menanti kesudahan pembedahannya.

Tiada kesan khas di dalam cerita ini, namun ia sangat memberikan 'kesan'. :)

Monday, April 9, 2012

Catatan Perjalan: Gua Jebak Puyuh, Temerloh, Pahang

Akhirnya tercapai jua hasrat hati untuk melaksanakan aktiviti 'caving' yang telah sekian lama dirancangkan.

Berkat hasil usaha gigih pengarah program kali ini, Encik Mohd Lothfi Mohd Salleh a.k.a Jalut aktiviti kali ini berlangsung dengan jayanya.

Kami memulakan perjalanan agak lewat tengahari untuk membeli barang-barang keperluan di pasaraya 'kegemaran' Abe...bertitik tolakkan dari lokasi rumah beliau kami meneruskan perjalanan ke Temerloh.

Oleh kerana saya memegang gelaran 'menantu' orang Temerloh, maka dengan hidung kembang serta 'tahu tak tahu' arah tujuan menjadi jurupandu konvoi ini dengan saudara Amar Ghazali memegang 'steering' serta Saudari Faridah mengetuai sebuah lagi kenderaan 'gadis-gadis' membawa rombongan kecil ini ke destinasi.

Perjalanan ringkas, jarak sederhana, suasana tenang bertemankan lagu-lagu Search, Lefthanded, R Azmi serta beberapa lagu separa 'keras' pilihan Jalut akhirnya kami tiba ke destinasi.

Tersergam megah Gunung Senyum di hadapan mata. Jelas kelihatan 3 pintu gua yang besar nun di atas gunung tersebut. Yang pastinya, bukan itu gua yang akan kami jejaki. Jebak Puyuh, nantikanlah kehadiran kami.



Tiba lebih kurang jam 6petang, tanpa berlengah masing-masing mengangkat barang-barang menuju ke tapak perkhemahan. Skil utama dan pertama diperlukan. Memilih tapak yang sesuai. Diskusi ringkas bersetuju memilih tapak yang paling dekat dengan 'denai batu' serta kemudahan tandas dan surau.


2 khemah untuk 4 'makcik-makcik' siap didirikan. 2 buah khemah 'fly & ground' untuk aktiviti dan dapur juga siap dipasang.

Seperti biasa, perkhemahan dan unggun api memang tidak dapat dipisahkan. Skil kedua, menyalakan unggun api untuk menerangkan kawasan serta 'dapur' untuk membakar kambing, ayam dan daging. ;)


Abe selaku pengerusi tetap Quarter Master gigih menyiapkan persiapan santapan malam.


Selesai santapan yang menyelerakan hasil 'air tangan' Abe kami berentap di dalam acara 'teka perkataan'. Boys versus Girls. Walaupun 'boy'nya hanya Amar yang kini tak berapa 'boy', namun ternyata kepintarannya membantu 'pasukan' untuk meraih hadiah makan percuma. ;)



Malam masih muda, demi untuk menyediakan diri yang segar keesokan harinya, masing-masing mencari posisi untuk melelapkan mata.

Hari Cabaran

Mencelikkan mata seawal 6pagi memang menyegarkan (Abe je sebenarnya). Kegigihan QM memang harus dipuji. Hidangan nasi goreng 2 versi berserta telur rebus menjadi bekalan tenaga untuk menyahut cabaran Jebak Puyuh.

Tepat jam 9pagi, kami bertolak dari tapak perkhemahan menuju ke lokasi 'cabaran'.

Jelas kelihatan di papan tanda, 3.5km; 45minit perjalanan.







Denai yang agak basah, dihiasi pokok-pokok hutan yang bagi saya semuanya sama. Ada 'Kembang Semangkuk', ada Ara, ada 'Simpuh Gajah', ada macam-macam lagi.

Lebih mengindahkan 'trekking' ini ditemani rakan-rakan pacat, meliuk lentuk mencari tempat persinggahan melepaskan 'dahaga' darah.

Hampir suku kehilangan nyawa, akhirnya tiba di lokasi gua pertama. Tidak dinyatakan oleh penunjuk arah akan nama gua tersebut kepada kami, beliau hanya menyatakan, "Jom tengok ulat paling bisa." Namanya, Mempesan. Mungkin sempat berpesan sahaja, tak sempat nak bawa ke hospital kalau terkena gigitannya. Jadi berhati-hatilah.





Selepas mencelah-celah menyenget ke kiri ke kanan, kami di'jemput' untuk merangkak. Nah! Gua pertama sudah berjaya mengotorkan kami. Sungguh-sungguh gua ini memang kena merangkak tahap meniarap. Pastikan punggung anda berada dibawah paras selamat sepanjang 'rangkakkan' atau akan berbunyilah 'ouh, ouch, adui'. Keadaan di dalam sangat gelap, dan seakan-akan berbentuk kubah di bumbung gua. Di suatu sudut gua juga terdapat tulisan 'Bismillahirrahmanirrahim' yang sudah semakin pudar. Menurut kata penunjuk arah, dahulu tulisannya sangat jelas.

Merangkak semula keluar, kami memasuki Gua Ka'abah. Bentuk yang sangat unik. Seakan direka oleh seorang arkitek untuk berbentuk sedemikian.










Selepas menikmati keindahan Gua Ka'abah yang tak berapa dalam. Kami menerokai pula Gua Terus. Seperti kata penunjuk arah, di dalam gua ada gua. Jadi penerokaan kali ini agak jauh ke dalam. Kami menyaksikan keindahan 'cerucuk-cerucuk; stalactite dan stalagmite.

Gua Mayat - mendapat namanya kerana terdapat stalagmite yang patah merintangi pintu gua seakan-akan sekujur mayat.

Gua Sisik Ikan - di gua ini pula menyaksikan bumbung-bumbung gua yang penuh dihiasi sisik-sisik ikan. Hasil daripada lelehan air yang turun di kala hujan.

Kelebihan gua-gua di sini adalah bentuk-bentuk kristal terhasil dari tindak balas air hujan dan batu kapur. Di dalam kegelapan, apabila lampu-lampu kami menyuluh stalagmite dan stalactite, suatu keindahan yang tak tergambar dengan kata-kata. Butiran-butiran air yang menitis melalui batu-batu kapur, menciptakan struktur yang sangat cantik.

Terdapat juga takungan-takungan kolam-kolam kecil yang seakan-akan gour.. :)

Seterusnya, kami ber'mini' trekking semula sambil singgah sebentar di tasik biru. Air tasik yang berwarna kebiruan. Untuk saya, sangat ajaib. :) Hahaha.

Singgah di Gua Ular. Kali ini, guanya tidak seperti di kawasan Jebak Puyuh, ia gua 'batu' bukan kapur. Makanya, struktur-struktur kristal tidak kelihatan di sini. Lantai gua juga agak berdebu dengan tanah yang sangat halus.








Di sini penjelajahannya agak menarik. Gua yang luas. Di dalamnya terdapat sebuah gua yang mengharuskan kita untuk menuruni anak bukit dan memasuk pintu di bawah bukit itu yang menghubungkan kita ke sebuah lagi gua yang luas. Menuruti penunjuk arah, kami ke sebelah lagi gua yang menganjur menaiki bukit. Sehingga ke atasnya, terdapat bumbung gua yang terbuka. Membenarkan cahaya matahari masuk dan pemandangannya sangat cantik.

Gua ini merupakan destinasi terakhir kami.




















Menjejaki jalan pulang, perjalanan menjadi tak semena-mena laju. Entah kerana penat dan ingin disudahi cepat atau penjelajahan tadi dikategorikan kurang mencabar. :)

Sampai di tapak perkhemahan, kami membersihkan diri. Berkemas dan bersiap pulang.

Singgah di Genting Sempah, untuk 'claim' hadiah kemenengan daripada team 'Mak Jemah'. MekDunal jadi santapan. Alhamdulillah, selesai perjalanan kali ini. Sehingga bertemu lagi di masa akan datang.