Tuesday, March 20, 2012

[Ulasan Filem] Lima Elang The Movie

Sekali elang terus elang!

Satu lagi kisah yang meng'inspirasi'kan. Seperti Laskar Pelangi, filem ini juga punya nilai-nilai persahabatan yang agak menyentuh hati. Lingkup persahabatan yang tidak lahir kerana persamaan, namun lahir dengan menepis buang sifat penting diri.

5 Elang


Baron lakonan Christoffer Nelwan yang kecewa kerana harus turut serta ibu dan ayahnya ke Balikpapan jauh meninggalkan Jakarta adalah seorang kanak-kanak kota yang sangat meminati permainan kereta kawalan jauh. Meminati mekanikal dan mahir matematik. Baginya, 'rakan' adalah yang turut sama meminati apa yang diminatinya. Tidak tahu tentang kereta kawalan jauh? "Kau bukan kawan aku." Christoffer mampu membawakan watak kanak-kanak yang memberontak.

Rusdi, anak yang ditinggalkan ayah tanpa 'sebab' serta ibu yang bekerja jauh di Hong Kong hanya tinggal bersama nendanya merupakan seorang ahli pengakap yang sangat optimistik dan positif. Jelas kelihatan di raut wajahnya. Kredit untuk 'team' pemilihan pelakon filem ini. Iqbal Dhiafakhri Ramadhan dengan jayanya membawa watak ini.

Anton, lakonan Teuku Rizky Muhammad seorang yang mahir dengan api dan merupakan satu-satunya rakan yang sangat memahami Rusdi. Kanak-kanak gempal yang sinonim dengan makanan.

Aldi, watak yang dibawa oleh Bastian Bintang Simbolon ini merupakan seorang yang bertubuh kecil namun besar egonya. Satu kehebatannya adalah berenang.

Sindai, lakonan Monica Sayangbati bukanlah anggota asal pasukan pengakap Elang. Gadis yang bertubuh lebih besar dari gadis-gadis lain ini sering menjadi 'mangsa' buli di dalam pasukannya. Dia merasakan dirinya dilayan tidak adil dikalangan rakan-rakan gadis yang lain.

Kelima-lima mereka ini mula 'bersatu' saat permainan terakhir sewaktu perkhemahan di hutan. Apabila Baron yang fokusnya untuk pergi ke pameran kereta kawalan jauh meninggalkan pasukan itu lalu dituruti oleh Aldi dan Sindai. Rusdi yang selama ini sentiasa positif seakan menerima tamparan hebat dengan tindakan rakan-rakan sepasukannya. Anton cuba menenangkan Rusdi tapi sayangnya mereka ditangkap oleh penjenayah hutan. Saat Baron tiba di pinggir pekan sambil melihat jurnal milik Rusdi, dia merasa terpanggil untuk bertanggungjawab menunaikan 'impian' Rusdi untuk menjadi pengakap terbaik.

Pelbagai momen menarik disajikan oleh filem ini. Walaupun ia santai dan berupa linear naratif namun konflik kanak-kanak yang sukar difahami ini sangat menarik.

No comments:

Post a Comment