Monday, April 9, 2012

Catatan Perjalan: Gua Jebak Puyuh, Temerloh, Pahang

Akhirnya tercapai jua hasrat hati untuk melaksanakan aktiviti 'caving' yang telah sekian lama dirancangkan.

Berkat hasil usaha gigih pengarah program kali ini, Encik Mohd Lothfi Mohd Salleh a.k.a Jalut aktiviti kali ini berlangsung dengan jayanya.

Kami memulakan perjalanan agak lewat tengahari untuk membeli barang-barang keperluan di pasaraya 'kegemaran' Abe...bertitik tolakkan dari lokasi rumah beliau kami meneruskan perjalanan ke Temerloh.

Oleh kerana saya memegang gelaran 'menantu' orang Temerloh, maka dengan hidung kembang serta 'tahu tak tahu' arah tujuan menjadi jurupandu konvoi ini dengan saudara Amar Ghazali memegang 'steering' serta Saudari Faridah mengetuai sebuah lagi kenderaan 'gadis-gadis' membawa rombongan kecil ini ke destinasi.

Perjalanan ringkas, jarak sederhana, suasana tenang bertemankan lagu-lagu Search, Lefthanded, R Azmi serta beberapa lagu separa 'keras' pilihan Jalut akhirnya kami tiba ke destinasi.

Tersergam megah Gunung Senyum di hadapan mata. Jelas kelihatan 3 pintu gua yang besar nun di atas gunung tersebut. Yang pastinya, bukan itu gua yang akan kami jejaki. Jebak Puyuh, nantikanlah kehadiran kami.



Tiba lebih kurang jam 6petang, tanpa berlengah masing-masing mengangkat barang-barang menuju ke tapak perkhemahan. Skil utama dan pertama diperlukan. Memilih tapak yang sesuai. Diskusi ringkas bersetuju memilih tapak yang paling dekat dengan 'denai batu' serta kemudahan tandas dan surau.


2 khemah untuk 4 'makcik-makcik' siap didirikan. 2 buah khemah 'fly & ground' untuk aktiviti dan dapur juga siap dipasang.

Seperti biasa, perkhemahan dan unggun api memang tidak dapat dipisahkan. Skil kedua, menyalakan unggun api untuk menerangkan kawasan serta 'dapur' untuk membakar kambing, ayam dan daging. ;)


Abe selaku pengerusi tetap Quarter Master gigih menyiapkan persiapan santapan malam.


Selesai santapan yang menyelerakan hasil 'air tangan' Abe kami berentap di dalam acara 'teka perkataan'. Boys versus Girls. Walaupun 'boy'nya hanya Amar yang kini tak berapa 'boy', namun ternyata kepintarannya membantu 'pasukan' untuk meraih hadiah makan percuma. ;)



Malam masih muda, demi untuk menyediakan diri yang segar keesokan harinya, masing-masing mencari posisi untuk melelapkan mata.

Hari Cabaran

Mencelikkan mata seawal 6pagi memang menyegarkan (Abe je sebenarnya). Kegigihan QM memang harus dipuji. Hidangan nasi goreng 2 versi berserta telur rebus menjadi bekalan tenaga untuk menyahut cabaran Jebak Puyuh.

Tepat jam 9pagi, kami bertolak dari tapak perkhemahan menuju ke lokasi 'cabaran'.

Jelas kelihatan di papan tanda, 3.5km; 45minit perjalanan.







Denai yang agak basah, dihiasi pokok-pokok hutan yang bagi saya semuanya sama. Ada 'Kembang Semangkuk', ada Ara, ada 'Simpuh Gajah', ada macam-macam lagi.

Lebih mengindahkan 'trekking' ini ditemani rakan-rakan pacat, meliuk lentuk mencari tempat persinggahan melepaskan 'dahaga' darah.

Hampir suku kehilangan nyawa, akhirnya tiba di lokasi gua pertama. Tidak dinyatakan oleh penunjuk arah akan nama gua tersebut kepada kami, beliau hanya menyatakan, "Jom tengok ulat paling bisa." Namanya, Mempesan. Mungkin sempat berpesan sahaja, tak sempat nak bawa ke hospital kalau terkena gigitannya. Jadi berhati-hatilah.





Selepas mencelah-celah menyenget ke kiri ke kanan, kami di'jemput' untuk merangkak. Nah! Gua pertama sudah berjaya mengotorkan kami. Sungguh-sungguh gua ini memang kena merangkak tahap meniarap. Pastikan punggung anda berada dibawah paras selamat sepanjang 'rangkakkan' atau akan berbunyilah 'ouh, ouch, adui'. Keadaan di dalam sangat gelap, dan seakan-akan berbentuk kubah di bumbung gua. Di suatu sudut gua juga terdapat tulisan 'Bismillahirrahmanirrahim' yang sudah semakin pudar. Menurut kata penunjuk arah, dahulu tulisannya sangat jelas.

Merangkak semula keluar, kami memasuki Gua Ka'abah. Bentuk yang sangat unik. Seakan direka oleh seorang arkitek untuk berbentuk sedemikian.










Selepas menikmati keindahan Gua Ka'abah yang tak berapa dalam. Kami menerokai pula Gua Terus. Seperti kata penunjuk arah, di dalam gua ada gua. Jadi penerokaan kali ini agak jauh ke dalam. Kami menyaksikan keindahan 'cerucuk-cerucuk; stalactite dan stalagmite.

Gua Mayat - mendapat namanya kerana terdapat stalagmite yang patah merintangi pintu gua seakan-akan sekujur mayat.

Gua Sisik Ikan - di gua ini pula menyaksikan bumbung-bumbung gua yang penuh dihiasi sisik-sisik ikan. Hasil daripada lelehan air yang turun di kala hujan.

Kelebihan gua-gua di sini adalah bentuk-bentuk kristal terhasil dari tindak balas air hujan dan batu kapur. Di dalam kegelapan, apabila lampu-lampu kami menyuluh stalagmite dan stalactite, suatu keindahan yang tak tergambar dengan kata-kata. Butiran-butiran air yang menitis melalui batu-batu kapur, menciptakan struktur yang sangat cantik.

Terdapat juga takungan-takungan kolam-kolam kecil yang seakan-akan gour.. :)

Seterusnya, kami ber'mini' trekking semula sambil singgah sebentar di tasik biru. Air tasik yang berwarna kebiruan. Untuk saya, sangat ajaib. :) Hahaha.

Singgah di Gua Ular. Kali ini, guanya tidak seperti di kawasan Jebak Puyuh, ia gua 'batu' bukan kapur. Makanya, struktur-struktur kristal tidak kelihatan di sini. Lantai gua juga agak berdebu dengan tanah yang sangat halus.








Di sini penjelajahannya agak menarik. Gua yang luas. Di dalamnya terdapat sebuah gua yang mengharuskan kita untuk menuruni anak bukit dan memasuk pintu di bawah bukit itu yang menghubungkan kita ke sebuah lagi gua yang luas. Menuruti penunjuk arah, kami ke sebelah lagi gua yang menganjur menaiki bukit. Sehingga ke atasnya, terdapat bumbung gua yang terbuka. Membenarkan cahaya matahari masuk dan pemandangannya sangat cantik.

Gua ini merupakan destinasi terakhir kami.




















Menjejaki jalan pulang, perjalanan menjadi tak semena-mena laju. Entah kerana penat dan ingin disudahi cepat atau penjelajahan tadi dikategorikan kurang mencabar. :)

Sampai di tapak perkhemahan, kami membersihkan diri. Berkemas dan bersiap pulang.

Singgah di Genting Sempah, untuk 'claim' hadiah kemenengan daripada team 'Mak Jemah'. MekDunal jadi santapan. Alhamdulillah, selesai perjalanan kali ini. Sehingga bertemu lagi di masa akan datang.