Saturday, October 13, 2012

Biarlah Kalah!

Kita bertanding ni memang untuk kalah.

Menang itu satu bonus. Kita bukan bertanding atau beradu kemahiran/kekuatan demi mencari kemenangan. Yang kita cari adalah kelemahan dan kekurangan diri kita.

Jadi untuk apa bertanding? Dah jumpa kelemahan, bukankah untuk kita perbaiki dan bertanding dengan lebih baik lagi?

Ya, kelemahan dan kekurangan yang dicari memang untuk kita perbaiki dan juga untuk  kita sedari diri, betapa sehebat mana pun kita pasti akan ada yang lebih hebat. Sebagus mana pun kita, pasti akan ada yang lebih bagus. Syukuri kurniaan tuhan yang ada pada kita.

Permudahkan begini; kita berlawan...dan kalah, kita pulang dan mengkaji serta belajar mempertajam kemahiran. Proses ini akan berulang beberapa kali. Tetapi jika kita berlawan dan kita menang, kajian kita tentang kemahiran kita akan terhenti seketika dek kerana kita menang. Berpuas hati dan bersenang diri.

Sehingga kita bertemu semula dengan 'kekalahan' barulah proses pembelajaran dan pengkajian ini akan berjalan semula.

Jadi mana yang lebih baik? Menang dan bermegah atau kalah namun tidak mengalah.

Anda yang memilihnya!


Pendapat Je...

Nak kata macam mana lagi?

Pendapat kita bukan 'wahyu'. Bukan bisikan Jibril a.s. ke telinga kita. Sedarlah.

Silap-silap ia bisikan syaitan. Na'uzubillah.

Kita lontarkan pendapat. Kita longgarkan pegangan. Beri ruang untuk menerima buah fikir orang lain. Usah bermati-matian dengan ketaksuban pada pendapat kita. Kelak terurai 'fakta' salahnya, tertepek ke muka sendiri rasa segannya.

Percayalah, kita tidak akan digelakkan apatah lagi dihina dek kerana kita sudi menerima atau setidak-tidak memberi lebih ruang dan masa untuk mendengar dari pihak lain.

Dan kita tidak sekali-kali disanjung apatah lagi dijunjung dek kerana teguhnya pada pendapat kita, lagilah tidak jika itu pendapat ceduk-cedukan pendapat dari orang lain.

Hal ini terpakai untuk apa jua perbalahan, apa jua perselisihan pendapat dan apa jua konflik.

Oh ya, bagaimana ya jika kita begitu yakin benar dengan 'kepercayaan' kita dan kita yakin salah 'kepercayaan' orang? Saat yang sama fikiran kita yakin benar dengan pandangan kita, begitu juga pihak lawan kita. Tetapi baik dia mahupun kita, tidak siapa yang tahu, mana Ilham dari pencipta mana pula bisikan sang penggoda. Jadi, wajarkah kita begitu tegas?

Ingatlah, bahawa kita hanya penyampai...hidayah dan petunjuk bukan tugas kita.

Monday, October 8, 2012

Saya Neutralist!!

Jangan marah saya...


Saya menentang dan tidak bersetuju tidak semestinya saya seorang pembangkang...

Saya 'bersyukur' dan berterima kasih pula tidak semestinya saya seorang penyokong 'tegar' puak pemerintah...

Saya sekadar ingin arena politik yang membenarkan saya berada di antara orang-orang yang 'neutral'.

Saya sekadar ingin menjadi seorang pengundi atau pemilih.

Sungguh, tidak semestinya, marah-marah saya, bebel-bebel saya pada hari ini bermaksud saya tidak akan memilih orang yang saya bebelkan itu...tidak semestinya.

Selagi belum tiba saat saya 'berkhalwat' bersama pensil dan kertas undi, ertinya masih ada harapan untuk 'membeli' jiwa saya.

Beli jiwa saya bukan bererti dengan duit. Belilah jiwa saya dengan apa yang saya dan golongan marhein yang lain inginkan. Mungkin saya antara yang minoriti. Mungkin juga saya antara yang majoriti, selaku puak-puak yang berparti, pandai-pandailah memilih untuk membeli jiwa saya atau golongan yang tidak sependapat dengan saya. Terpulang anda.

Tidak perlu 'marah-marah' saya kerana tidak sealiran dengan pandangan anda. Tidak perlu 'maki-maki' saya kerana saya merasakan anda kurang bijak dalam berpolitik. Baik anda mahupun saya, kita sama-sama adalah manusia ciptaan Allah.

Baik saya mahupun anda, bisa melakukan kesilapan. Betulkah atau silapkah kita, sering menjadi rahsia. Rahsia yang kita semua tahu, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bukan manusia. Maka, tidak haruslah kita dengan amat yakin mengatakan kita 'sangat mengetahui'.

Kita juga boleh silap. Kita juga boleh salah. Kenapa 'tegas' sangat dengan pendapat kita? Kenapa 'keras' sangat dengan hujah kita?

Ingatlah, setiap hujah kita, setiap pendapat kita tidak turun dengan 'wahyu' Allah.

Saya neutralist kadang-kadang naturalist...;-p

Sekian, terima kasih.