Tuesday, November 6, 2012

[Jelajah] Gunung Nuang, Hujan dan Lumpur!

Pendakian bukan sesuatu yang mesra dengan saya.

Namakan apa jua bukit, tiada yang pernah saya jamahi apatah lagi jelajahi. Biarpun 'kampung' saya bernama Taman Bukit Cheras.

Oh ya, Bukit Tabur pernah menjadi kenalan saya kebelakangan ini. Namun, jujurnya pendakian Tabur dan Nuang adalah dua kisah yang sungguh tidak berkait. :)

Oleh kerana saya merupakan pendatang baru dalam industri pendakian ini makanya, jemputan dari Abe pada malam sebelumnya, lebih tepat jam 11.50 malam terus saya 'sambut' dengan yakin. Sedikit tidak terfikir tentang tempoh masa, jarak apatah lagi ketinggian.

Esoknya, sepagi sesudah solat subuh saya menghidupkan enjin kereta dan tiba tepat jam 7.25 pagi di Petronas berhadapan Plaza Phoenix. Bertemu dengan Abe dan Adlei di situ.

Selesai bersarapan, secara kasarnya memulakan pendakian jam 9 pagi. Tatkala ini saya masih lagi tidak terfikir langsung tentang masa. Percayalah!

Permulaan perjalanan adalah sangat santai. Sedikit pun tiada tekanan. Sekadar mengingatkan saya zaman-zaman sekolah rendah, saat menapak dari perhentian Sekolah Menengah Cheras ke Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Razak. Itu adalah sekitar 3km.

Pendek kata untuk tiba di Kem Lolo tidak menjadi masalah. Masa? Seperti yang saya katakan, saya abaikan tentang masa. Saya nikmati perjalanan seadanya.



Dari Kem Lolo ke Kem Pacat, di sini mula terasa bahangnya. Kaki masih memberi kerjasama dengan baik. Pernafasan agak tercungap jika mengikutkan rentak si 'senior' pendaki Abe dan Adlei.

Sambil-sambil itu, sempat saya memerhatikan trek yang dilalui. Tanah merah, bersulam batu-batu sungai. Terdapat juga 'laluan' air. Terbayang keadaan saat menuruni trek ini nanti. Ada sedikit debar.

Sampai di Pacat, kami melepaskan lelah dengan sedikit roti dan kurma. Kurang 15minit, pedakian diteruskan semula.

Kali ini, saya merasakan trek semakin mengerikan, semakin banyak kelihatan tanah-tanah merah. Tapi kecuraman pendakian seiring dengan suhu yang semakin dingin. Dari celah-celah pokok, kelihatan kabus menebal. Badan terasa sejuk dek hembusan angin gunung menyapa peluh di tubuh.

Sampai ke Puncak Pengasih sekitar jam 2 petang. Masa untuk makan bekalan. Perut sungguh-sungguh terasa lapar. Selesai bersantap, tanpa segan silu kami meneruskan lagi perjalanan ke puncak 'sebenar'. Kali ini, segalanya berbekalkan 'keterujaan'. Pantas dan bersemangat ditambah dengan belum solat Zohor, kejar masa. :)

Sekitar jam 3 petang, tiba di puncak Nuang. Nah! Berjaya juga akhirnya.






Turun semula ke Puncak Pengasih untuk menunaikan fardhu Zohor. Seusai solat, baru saya tergerak untuk bertanya, "Berapa jam agak-agak kita akan sampai ke bawah ni?" Jawapan dari Abe, biasanya separuh dari waktu naik... tapi itu biasa nya. Saya dongak ke langit, langit mendung. Hari semakin gelap. Aduh!

'Neraka' dunia saya bermula apabila hujan membasahi bumi. Neraka dunia kerana saya memang sangat gagal dengan muka bumi basah, ditambah dengan tumit 'plantar fasciitis' sangatlah terasa azabnya.

Setiap langkah adalah penderitaan. Untuk sampai ke Lolo, saya tergelincir entah berapa kali. Saat itu moral saya jatuh bersama-sama punggung saya setiap kali terduduk di tanah berlumpur. Ya, saya hampir putus asa. Saya terasa Pacat ke Lolo bagaikan JB ke KL. 

Walaupun tiba di Lolo, malam sudah pun bermesra. Irama hutan telah memeriahi suasana, namun melihat Kem Lolo waktu itu adalah sangat nikmat. Ia lebih asyik dari berbual mesra dengan Diana Danielle. Biarlah, Farid Kamil bernikah dengan Diana Danielle, saya tidak peduli, berjumpa dengan Lolo adalah lebih nikmat. :)

Hentian Lolo untuk menunaikan solat Maghrib. Masa mencemburui. Langkah harus diteruskan. Biar sakit, biar derita. Biar sejuk menggigil dek hujan. Kami teruskan jua. Kali ini, trek tidak terlalu berlumpur seperti Pacat Ke Lolo. Lebih banyak batuan membantu cengkaman. Namun saya tetap memerlukan sedikit-sedikit rehat, teringatkan perut kosong, mujur Abe masih ade bekalan kurma. Alhamdulillah.

Sepanjang trekking fasa terakhir ini, kami ditemani hujan selebat-lebatnya. Kurang terasa penatnya. Sekadar berjuang melawan sakit kaki. :)

Nah, tiba jua di pondok renjer, tepat jam 9 malam. Syukur, alhamdulillah. Berjaya juga menyelesaikan misi ini tanpa menyusahkan sesiapa.

Kini saya mengenali apa itu gunung. Terima Kasih kepada Abe dan juga Adlei. :)

3November2012.