Tuesday, November 20, 2018

Salam Mawleed Ar-Rasul!

Salam Mawleed Ar-Rasul


Walaupun tarikh sebenar lahirnya insan agung ini sering menjadi perbalahan dan pertikaian akan ketepatannya. Malah tak kurang juga polemik wajar disambut atau tidak. Namun kita sebagai manusia yang pastinya sangat dahagakan syafaat baginda tidak mahu terlepas dalam perebutan tiket 'keringanan' landasan ke syurga.
.
Dalam kita meragui akan keabsahan tentang kewajaran sambutannya, adalah amat wajar kita telah memenuhkan setiap saat hidup dan nafas kita dengan impak mawleednya Rasul Agung ini. Jika kita sekadar berdegar lantang menempelak hukum, namun di suatu sudut lainnya, kita ber'nabi'kan dan ber'sunnah'kan Marvel Comic dan Avengers serta Storm Troopers (main sebut je), adalah lebih baik kita semak semula akan kelayakan kita untuk memperoleh syafaat insan agung ini. Siapa yang kita agungkan? Siapa yang kita promosikan?
.
Biar kita jadi manusia yang berpendirian, teguh menentang kewajaran sambutan, namun di sisi satu lagi, kita adalah manusia yang paling tegar dengan sunnahnya, dari bermula celik di pagi hari, hinggalah alam memanggil untuk beradu. Perlakuan kita, mulut dan hati kita tidak lekang dengan berselawat ke atas baginda. Sesuai dengan sabdaan baginda,
.
Dari Ubai bin Ka'ab, r.a. katanya: "Ya Rasulullah!  Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda bersabda:  "Sekadar mana yang engkau suka"; Aku berkata:  "Aku hendak untukkan sesuku dari masaku"; Baginda, bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka,  dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata:  "Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku" Baginda bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata: "Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masa Baginda bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata: "(Jika begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan"; Baginda bersabda: "Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu"
.
(Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Hakim)

No comments:

Post a Comment